Photos


Boleh Beli Ayam di 29 Masjid

KOTA TINGGI – Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) mengambil pendekatan memilih 29 masjid dalam negeri ini, untuk membekalkan ayam yang diproses serta produk ayam untuk dijual kepada umat Islam.

Pengarah Lembaga PPNJ, Shammodin Abd Halim berkata, kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu dilakukan di bawah program pembekalan makanan bersih suci dan halal seperti mana dimahukan Sultan Johor.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah bertitah, PPNJ kena ambil tanggungjawab supaya usaha yang dilakukan PPNJ ini dibesarkan semula. Sekali gus umat Islam mendapat bekalan ayam dan produk ayam yang bersih suci dan halal.

“Ayam memang kita sudah lama jual tetapi kita jual ke pasar raya dan pusat pengumpulan diusahakan pertubuhan peladang sendiri, dan tidak fokus serta mendedahkan kepada umat Islam mengenai bagai mana keadaan makanan di luar.

“Usaha bermula pada tahun ini dilancarkan di Kluang bulan lepas. Orang ramai boleh datang untuk membeli ayam di masjid terpilih selain turut terdapat di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agong Unit Peladang Felda Air Tawar 5, semalam.

Shammodin berkata, pada hari ini cabaran kepada makanan bersih dan halal menjadi satu ancaman kepada umat Islam.

Menurutnya, sekiranya umat Islam tidak ambil peranan dan tindakan kita akan terus terbuai dengan permainan orang tengah, yang hendak mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan isu-isu yang diperlukan umat Islam.

“Melalui usaha ini, masjid melalui koperasi mereka akan dibekalkan dengan peti ais secara percuma oleh PPNJ, untuk dibekalkan ayam bagi dijual kepada umat Islam yang datang ke masjid.

“Baginda Sultan Johor juga meminta PPNJ agar pilihan produk yang ada dilebarkan dan bukan sekadar ayam sahaja contohnya seperti mee kuning dan sebagainya. Ianya akan kita lakukan secara berperingkat.

“Melalui mesyuarat bersama MAINJ sambutan yang diberikan kerajaan negeri sangat positif. Saya yakin bermula dari 29 buah masjid ia akan berkembang lebih banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga melakukan pemantauan untuk memastikan bekalan ayam tidak terputus, selain mensasarkan lebih banyak masjid besar dalam negeri ini agar turut dapat membekalkan ayam di bawah program itu.

Hadir sama, Ketua Unit Peladang Felda Air Tawar 5, Moslim Yassin, Timbalan Pengurus Besar PPK Pengerang, Azhar Din, Ahli Jemaah PPK Pengerang, Hamzah Osman, Ketua Peladangnita Felda Air Tawar 5, Markanah Alimin, Ketua Peladangnita PPK Pengerang, Aliah Saat.