Photos


PPNJ Disaran Tampil Bantu Transformasi Sektor Pertanian

JOHOR BAHRU, 3 September – Barisan kepimpinan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) disaran untuk tampil merevolusikan sektor pertanian bagi memastikan kepentingan strategik Melayu terus kekal dan dominan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata proses revolusi itu memerlukan penglibatan lebih menyeluruh dalam pelbagai sektor rantaian nilai atau ‘value chain’ pertanian.

“Semua pihak berkepentingan harus terlibat dan memainkan peranan masing-masing dengan berkesan merangkumi pihak kerajaan, pertubuhan peladang, kaum pemodal sehinggalah petani sendiri.

“Mengarus-perdanakan sektor pertanian bukan sahaja langkah strategik, malah sangat kritikal kerana ia adalah tentang kelangsungan ekonomi Malaysia terutamanya dalam merapatkan jurang masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Johor, di Berjaya Waterfront Hotel, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Jemaah Pengarah PPNJ, Dato’ Sri Saipolbari Suib.

Mohamed Khaled turut menganjurkan tiga pendekatan penting bagi mengarus-perdanakan sektor pertanian.

“Pertama, penggunaan teknologi termaju secara besar-besaran yang dapat membantu kadar pengeluaran menjadi lebih banyak dan kitaran tanaman menjadi lebih kerap hingga membolehkan ia menjadi lebih kompetitif dan menjadi bidang keberhasilan utama.

“Kedua, membina sinergi dan menarik pelaburan. Oleh itu, PPNJ harus mencari rakan pintar dan pelabur yang serius serta menjalin kerjasama erat dengan institut penyelidikan, malah meneroka pasaran global dengan rakan strategik yang mempunyai jaringan meluas.

“Manakala yang ketiga adalah membangunkan keusahawanan tani dan pelbagai industri berkaitannya dengan menjadi instrumen dalam melahirkan lebih ramai usahawan yang aktif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya PPNJ melakukan transformasi dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam sektor perladangan, pertanian, penternakan serta pelbagai rantaian nilai dalam industri itu.

“PPNJ sendiri harus menjadikan pertubuhan itu sebuah gerakan usahawan yang memiliki pelbagai ikhtiar pertanian yang mendukung sektor pertanian.

“Kedai jentera pertanian, industri baja, syarikat pembungkusan, rangkaian logistik dan teknologi pembekuan, perniagaan insurans pertanian dan produk, pensijilan halal, malah mungkin memiliki bank pembiayaan sendiri berdasarkan konsep bank kerjasama atau koperasi.

“Malah, PPNJ juga boleh memiliki kedai pemasaran tersendiri yang akhirnya menjadi katalis kelahiran keusahawanan yang akan menyokong ahli dan masyarakat petani di Johor dan Malaysia,” katanya.


Sumber : Jauhar Online