Photos


Sektor pertanian teroka pasaran global

JOHOR BAHRU 4 Sept. - Pertubuhan Peladang Ne­geri Johor (PPNJ) digesa terus meng­arusperdanakan sektor pertanian di negeri ini dengan membina sinergi dan menarik pelaburan baharu serta meneroka pasaran global pada masa akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perladangan kini bukan lagi sektor kelas kedua kerana banyak pihak mahu melibatkan diri dalam bidang berkenaan terutamanya di negara-negara maju.
Beliau berkata, fenomena itu semakin jelas dan ketara hingga menjadi agenda Pertubuhan Perdagang­an Dunia (WTO) iaitu menghasilkan perjanjian perdagangan dalam pertanian yang adil dan kompetetif.
“Oleh kerana besarnya potensi sektor ini, maka kita memerlukan sinergi antara pelbagai pemain. Kita memerlukan pelaburan yang besar. Kita melakukan transformasi yang radikal dalam sektor ini.
“Di sinilah pertubuhan seperti PPNJ harus memainkan peranannya dengan mencari rakan pintar dan pelabur yang serius. Menjalin kerjasama erat dengan pelbagai institut penyelidikan, malah meneroka pasaran global dengan rakan strategik yang mempunyai jaringan meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Mesyuarat Agung Tahunan PPNJ ke-38 yang turut dihadiri Tim­balan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Jemaah Pengarah PPNJ merangkap Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahari Suib di sini baru-baru ini.
Mohamed Khaled berkata, kaedah lain untuk mengarusperdanakan sektor berkenaan adalah dengan menggunakan teknologi terkini dan termaju yang mampu menghasilkan kadar pengeluaran yang lebih tinggi.
Katanya, dengan teknologi termaju itu juga PPNJ boleh mendahului persaingan selain menjadi lebih kompetitif dan bidang pertanian akan menjadi bidang keberhasilan utama.
“Selain itu, PPNJ juga haruslah membangunkan keusahawanan tani sekali gus melahirkan lebih ramai usa­hawan dalam sektor perladangan, pertanian, penternakan serta pelbagai rantaian nilai dalam industri ini.
“Justeru, saya berharap PPNJ dapat melakukan transformasi ini dengan menjadi pemain utama. Bertindaklah sebagai katalis kelahiran keusahawanan yang akan memberdayakan ahli dan masyarakat petani di Johor dan negara ini,” katanya.

Sumber - Utusan Online