Pengenalan

PERTUBUHAN PELADANG NEGERI JOHOR ( PPNJ ) ditubuhkan pada tahun 1971 di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973. Tujuan utama penubuhan PPNJ ialah untuk meninggikan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meningkatkan hasil dan pendapatan, dan membaiki cara hidup ahli-ahli, serta mengujudkan satu masyarakat tani yang progresif, berdikari, makmur dan bersatu-padu.

Pada tahun 1991, merupakan detik penting dalam perjalanan PPNJ selama 20 tahun apabila diisytiharkan sebagai sebuah Pertubuhan Peladang Negeri ( PPN ) berdikari. Pencapaian cemerlang PPNJ terus mendapat pengiktirafan dan menjadi contoh terbilang di kalangan PP yang lain seluruh negara.

Kegiatan utama PPNJ adalah dalam industri komoditi sawit yang meliputi perladangan, perkilangan, perundingan, penyelididkan dan pemasaran. PPNJ telah melengkapkan rantaian nilai bagi aktiviti ini dan mula menambah kepada aktiviti sampingan seperti kilang baja kompos dan loji memproses isirong untuk makanan ruminan.

Aktiviti-aktiviti sokongan lain seperti aktiviti sosio ekonomi dan sosial termasuk pemasaran, kredit, latihan, perniagaantani, pengangkutan dan lain-lain saling melengkapi tentang peranan utama PPNJ di dalam memastikan ahli-ahli peladang terus mendapat sokongan dan bimbingan.

Pada tahun 2013 ini PPNJ terus melebarkan operasi dan aktiviti agar selari dengan RMK-10 merangkumi strategi, program dan peruntukan yang diperlukan bagi tujuan merealisasikan Misi Nasional dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dari aspek ekonomi, pembangunan sosial yang seimbang, warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh.

Kejayaan cemerlang PPNJ perlu diperluaskan bagi memastikan PPNJ di landasan kecemerlangan yang berterusan.


Latar Belakang

PPNJ kini menuju kearah matlamat untuk memaksimakan kegunaan sumber – sumber sediada bagi meningkatkan ekonomi dan sosial ahli peladang di seluruh Negeri Johor.

Aktiviti ekonominya adalah berasaskan pengeluaran hasil pertanian. Rantaian nilai setiap aktiviti ekonomi perlu dilengkapkan bagi menjamin kelangsungannya secara mampan dan berdaya saing.

Aktiviti sosio-ekonomi pula dilaksanakan untuk memantapkan pergerakan pertubuhan peladang bagi membangunkan dan memajukan sosio – ekonomi ahli peladang.

Aktiviti sosial dan kemasyarakatan sentiasa diberi penumpuan hasil dari limpahan keuntungan PPNJ. Ianya memastikan tiada ahli peladang yang tertinggal dan terpinggir dalam arus pembangunan dan kemajuan negara.


Tugas Dan Tanggungjawab

  • Latihan
  • Meluaskan Pengeluaran Pertanian
  • Bekalan Ladang Dan Keperluan Harian
  • Perkhidmatan Kejenteraan Ladang
  • Simpanan Wang Luar Bandar
  • Pemasaran Dan Penggudangan
  • Pengangkutan
  • Loji-loji Memproses
  • Modal Dan Pelaburan
  • Memperolehi Dan Memajukan Tanah
  • Projek Kemasyarakatan Dan Memudahkan Pimpinan
  • Perkhidmatan Dan Kemajuan Sosial

Visi

Menjadikan PPNJ satu gerakan Pertubuhan Peladang yang dinamik, cekap dan berkesan serta berperanan sebagai entiti perniagaan peladang yang berdaya maju dan berdikari di persada antarabangsa.


Misi

  • Menyatu dan menggembeling sumber barangan peladang melalui Dana Peladang Kebangsaan.
  • Membangun dan melaksanakan rantaian nilai projek ekonomi peladang dan pertubuhan peladang.
  • Berperanan sebagai pengeluar dan peneraju dalam pengeluaran produk pertanian berasaskan makanan yang halal dan selamat dimakan.
  • Menyedia dan melengkapkan keperluan asas pertanian.
  • Membangun dan menerokai pasaran bagi produk-produk PPNJ.
  • Memacu transformasi pertanian melalui program Penyelidikan dan Pembangunan (Reasearch and Development) dan pemindahan teknologi.

Nilai-Nilai Teras

Proaktif, Inovatif, Komunikatif, Futuristik, Komited Dan Profesional untuk kesejahteraan dan kemajuan ahli-ahli serta kemajuan bisnes.

Amanah, Benar, Bijaksana, Adil, Telus, Bersyukur demi kesejahteraan dan kemajuan ahli-ahli serta kemajuan bisnes.


Polisi Kualiti

PPNJ beriltizam secara berterusan dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi peladang dan mewujudkan masyarakat tani yang progresif, berdikari, makmur dan bersatupadu serta melaksanakan penambahbaikan program secara berterusan untuk meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan kualiti.


Tiga Program Utama PPNJ

Program Pembangunan Ekonomi

Bertujuan menjana keuntungan bagi membolehkan PPNJ melaksanakan tanggungjawab kepada 29 buah PPK dan ahli-ahli peladang.

Program Pembangunan Sosio-Ekonomi

Aktiviti perniagaan bersepadu bersama ahli bagi membangunkan taraf ekonomi PP dan ahli peladang.

Program Pembangunan Sosial

Berfungsi menyediakan peruntukan kewangan dan perlaksanaan program pembangunan sosial ahli serta membangunkan taraf sosial PP dan ahli peladang.