24 April 2025 | Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru
Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H / 2025M dalam suasana penuh warna warni dan meriah bertempat di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran dan platform mempererat ukhuwah antara warga peladang dan seluruh warga kerja PPNJ di semua peringkat.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Tabung Kumpulanwang berjumlah RM40,000.00 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negeri Johor. Sumbangan ini merangkumi geran pengurusan, program lawatan & latihan dan pendidikan bagi memperkukuh tadbir urus serta pembangunan kapasiti PPK.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Y.H. Dato’ Haji Ali bin Shikh Ahmad, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNJ, sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada PPK dalam menggerakkan agenda pembangunan peladang di peringkat akar umbi.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Encik Amiruddin bin Haji Bahar, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor, Barisan Ahli Jemaah Pengarah PPNJ serta Pengerusi dan AJP PPK seluruh negeri.
PPNJ akan terus komited untuk memperkasakan peladang dan menyemarakkan semangat kebersamaan demi kelestarian sektor pertanian negeri Johor.





