13 Julai 2025
LADANG BUKIT BUJANG, SEGAMAT
Pada 13 Julai 2025, Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) telah menerima lawatan kerja rasmi daripada YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz bin Haji Omar, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), ke Ladang Bukit Bujang, Segamat. Lawatan ini merupakan satu penghormatan besar buat PPNJ dalam usaha mempersembahkan pencapaian serta hala tuju projek PPNJ.
Turut hadir mengiringi beliau ialah Ketua Pengarah LPP, Encik Amir bin Matamin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Tuan Haji Fauzi bin Badron; serta Pengarah LPP Negeri Johor, Encik Amirudin bin Bahar. Kehadiran disambut oleh Y.H. Dato’ Haji Ali bin Shikh Ahmad, Pengerusi PPNJ; Encik Mohd Faizal bin Hailani, Pengurus Besar PPNJ; barisan Ahli Jemaah Pengarah serta pengurusan dan kakitangan PPNJ.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi PPNJ serta taklimat projek oleh Pengurus Besar PPNJ yang memfokuskan kepada potensi dan strategi pembangunan ladang.
Sementara itu dalam ucapan YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz memberikan sokongan penuh terhadap usaha PPNJ dalam meningkatkan taraf ekonomi peladang melalui pendekatan moden dan bersepadu. Beliau turut menzahirkan ucapan setinggi- tinggi tahniah kepada kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah PPNJ, barisan kepimpinan LPP di peringkat kebangsaan dan negeri serta pengurusan PPNJ.
Rombongan seterusnya dibawa melawat ke beberapa aktiviti- aktiviti utama PPNJ termasuk kawasan fidlot lembu, projek tanaman nanas di bawah talian TNB, tanaman kelapa matag dan kelapa pandan, projek tanaman Napier serta tapak integrasi lembu. Lawatan turut diserikan dengan simbolik penanaman anak pokok kelapa matag oleh Pengerusi LPP dan Ketua Pengarah LPP. Lawatan kemudiannya meninjau operasi kilang PKC dan menyaksikan demonstrasi pemprosesan pellet sebagai salah satu nilai tambah dalam rantaian projek penternakan.
PPNJ amat berbesar hati dengan lawatan ini yang bukan sahaja memberi galakan moral kepada warga kerja, malah turut memperkukuh hubungan strategik antara LPP dan PPNJ demi kemajuan sektor pertanian yang lebih mampan dan berdaya saing.





