Lawatan sambil belajar ini disertai oleh Y.H. Dato’ Haji Ali Bin Shikh Ahmad, Pengerusi AJP PPNJ bersama barisan Ahli Jemaah Pengarah PPNJ. Turut sama dalam lawatan ini ialah Encik Mohd Faizal Bin Hailani, Pengurus Besar PPNJ bersama anggota pengurusan PPNJ. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai operasi pengeluaran kilang sawit, pengurusan proses pemprosesan buah tandan segar (BTS), serta amalan keselamatan dan pematuhan standard industri yang diamalkan oleh Kilang Sawit Kim Loong.
Kehadiran delegasi PPNJ telah disambut oleh Encik Chang Chow Swan, Pengurus Besar Kilang Sawit Kim Loong. Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat oleh Jurutera Kilang Encik Hakimi (Bahagian Teknologi Biogas) yang merangkumi latar belakang syarikat, kapasiti pemprosesan dan aliran operasi kilang. Seterusnya, delegasi dibawa melawat kawasan operasi utama termasuk penerimaan BTS, proses pengekstrakan minyak sawit mentah (CPO), sistem pengurusan sisa, Teknologi Biogas dan keselamatan pekerja.
Sepanjang lawatan ini, pihak kilang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur, menitikberatkan aspek keselamatan dan kebersihan, serta mematuhi keperluan alam sekitar. Pihak kilang juga menunjukkan komitmen dalam meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti hasil pengeluaran.
Lawatan ini memberi manfaat yang besar kepada delegasi dalam memahami operasi sebenar industri sawit serta cabaran yang dihadapi oleh pihak kilang. Diharapkan lawatan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengukuhkan kerjasama dan perkongsian ilmu antara kedua-dua pihak.





